SEBAHAGIAN daripada 238 individu yang ditahan polis. FOTO Asyraf Hamzah
SEBAHAGIAN daripada 238 individu yang ditahan polis. FOTO Asyraf Hamzah
Yusmizal Dolah Aling


JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) akan mendapatkan maklumat daripada polis jika wujud fakta dan maklumat yang signifikan dengan siasatan dijalankan sebelum ini mengenai 238 individu yang ditahan di sebuah kawasan penempatan di Ulu Rening, Batang Kali, kelmarin.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata, siasatan pihaknya bermula lebih awal berdasarkan aduan dan maklumat awam yang diterima oleh Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS tahun lalu.

Katanya, siasatan terhadap maklumat juga turut dijalankan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana disyaki terbabit dalam satu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak dan mana-mana fatwa yang berkuat kuasa.

"JAIS akan merujuk maklumat yang ada kepada polis jika ada keperluan dan berkaitan dengan fakta yang mahu dimuktamadkan oleh kita.

"Siasatan yang sedang dibuat mengenai beberapa maklumat awam ini perlu diselesaikan. Pegawai saya mesti mengemukakan kesimpulan siasatan dengan segera," katanya kepada Harian Metro.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan 238 individu termasuk kanak-kanak serta bayi ditahan polis di sebuah penempatan di Ulu Rening, Batang Kali dengan membina khemah di dalam hutan dan atas bukit di kawasan berkenaan.

Mohd Shahzihan, turut menasihati orang ramai khususnya warganet supaya tidak membuat kesimpulan awal mengenai kes berkenaan dan menyerahkan kepada berwajib menjalankan tanggungjawab dan siasatan masing-masing.

"Kita tidak boleh tuduh begitu begini kerana JAIS juga menyiasat berdasarkan aduan. Mahkamah yang akan menentukan nanti.

"Soal agama biar pihak berwajib uruskan. Jika ada tanda-tanda, gerak dan cara beribadat yang disangsikan, tampil mengadu kepada JAIS.

"Biar kami siasat, jangan suka tuduh seseorang atau kumpulan sesat dan sebagainya secara sewenangnya mengikut kemarahan, sentimen atau maklumat yang belum diputuskan oleh pihak berkuasa agama," katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan supaya menghubungi talian hotline Bahagian Penguatkuasaan Jais di 1800-88-2424.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

    Berita berkaitan

    154 peneroka hutan Ulu Rening didenda RM600

    Bukan perkampungan haram, tanah dah beli - DPEIN

    154 individu dari penempatan Ulu Rening didakwa [METROTV]

    [UPDATE] Jais siasat cara hidup kumpulan di Ulu Rening

    [UPDATE] Kumpulan DPEIN teroka hutan Ulu Rening

    Polis serbu penempatan di Ulu Rening

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 12:30 AM