MOHD Amry Mohd Najib (dua dari kanan) melapor diri untuk keluar membeli barang-barang keperluan di pondok kawalan berhampiran Sekatan Jalan Raya di Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam. FOTO Adnan Ibrahim
MOHD Amry Mohd Najib (dua dari kanan) melapor diri untuk keluar membeli barang-barang keperluan di pondok kawalan berhampiran Sekatan Jalan Raya di Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


PENDUDUK Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM) mula keluar untuk mendapatkan barangan keperluan dan urusan bank selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ditamatkan semalam.

Seorang penduduk, Mohd Amry Mohd Najib, 39, berkata, dia mengambil peluang itu untuk membeli barangan keperluan dan makanan di Pekan Simpang Renggam hari ini.

Katanya, untuk mendapat kebenaran keluar mereka perlu mengisi borang selain membuat pemeriksaan kesihatan di Klinik Kesihatan BBIM terlebih dahulu sebelum melapor diri di pondok kawalan yang disediakan berhampiran sekatan jalan raya.

"Walaupun sudah mendapat kebenaran keluar namun kami tetap mematuhi setiap prosedur yang ditetapkan kerana tidak mahu perkara yang sudah berlaku berulang semula di kawasan penempatan ini," katanya.

Tinjauan NSTP mendapati tiada pergerakan besar-besaran penduduk BBIM untuk keluar membeli barangan keperluan dan sehingga jam 12 tengah hari hanya kira-kira 30 ketua keluarga mengemukakan borang kebenaran keluar.

BBIM mempunyai kira-kira 360 keluarga dengan 1,320 penduduk.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), Mohamad Sukry Abd Rahim ketika dihubungi berkata pihaknya sedang berusaha mempercepatkan proses membawa masuk barang keperluan serta bahan mentah ke semua kedai di kawasan itu.

Katanya, ada premis perniagaan yang diberikan kebenaran beroperasi pada masa ini berhadapan dengan masalah pekerja selain perlu membuat pembersihan akibat daripada terlalu lama terbiar dan tidak diuruskan.

"Bagaimana pun, kami menjangkakan selewat-lewatnya esok sudah ada kedai yang dibuka kerana semua pembekal termasuk daripada Jabatan Pertanian akan mula menghantar barang-barang keperluan lewat hari ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 12:28 PM