ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan semburan di rumah penduduk di Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam pada 8 April lalu. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan semburan di rumah penduduk di Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam pada 8 April lalu. FOTO ihsan bomba
Adnan Ibrahim


PENDUDUK Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM) dan Kampung Datuk Ibrahim Majid (KDIM), Simpang Renggam tenang menerima perlanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sehingga 28 April depan.

Ketua Kampung Datuk Ibrahim Majid, Sarlan Yasmin berkata, penduduk memahami dan akur dengan keputusan kerajaan itu kerana ia untuk kebaikan semua.

Katanya, penduduk masih trauma untuk keluar dari kediaman masing-masing kerana takut ancaman wabak Covid-19.

“Keadaan terkawal dan sehingga hari ini kami tidak pernah berhadapan dengan sebarang masalah terutamanya makanan kerana ia dibekalkan kepada penduduk mengikut jadual dan masa ditetapkan.

“Malah setiap kekurangan berkaitan keperluan lain seperti susu bayi, lampin pakai buang serta barang-barang harian tetap dipenuhi setiap kali diperlukan oleh penduduk,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sarlan dalam pada itu turut berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam barisan hadapan menjayakan PKPD.

“Sebagai tanda terima kasih, kami akan mematuhi setiap arahan yang ditetapkan sepanjang PKPD ini kerana yakin hanya melalui pematuhan ini sahaja wabak Covid-19 dapat boleh dihentikan,” katanya.

Sarlan turut berharap dengan perlanjutan tempoh PKP sehingga 28 April nanti membuahkan hasil seperti yang diharapkan oleh rakyat.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 4:33 PM