NURUL Ilham (tengah) bersama bapanya, Redzuan Mohammad di perkarangan IPD Kuala Kedah. FOTO IHSAN USIM
NURUL Ilham (tengah) bersama bapanya, Redzuan Mohammad di perkarangan IPD Kuala Kedah. FOTO IHSAN USIM
Mohd Amin Jalil


"PERASAAN gembira tidak terhingga sebaik melihat ayah sedia menunggu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk membawa saya pulang ke rumah," kata Nurul Ilham Huda Redzuan.

Nurul Ilham, 19, antara 11 penuntut perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Kampus Pandan Indah yang selamat tiba di kampung halaman di Kedah dan Pulau Pinang, hari ini.

"Saya amat gembira dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan serta semua pihak yang menguruskan perjalanan pulang dengan selamat.

"Tak sabar dan rindu untuk menikmati masakan emak iaitu masak lemak rebung sebagai juadah berbuka puasa," katanya yang juga penuntut tahun pertama Perubatan dan Surgeri.

Dia selamat tiba di rumahnya di Bandar Perdana Seksyen 8, Sungai Petani, Kedah setelah dijemput ayahnya sebaik bas yang membawa penuntut tiba di IPD Kuala Muda pada 5.20 pagi tadi.

Nurul Ilham berkata, sebelum bertolak balik, setiap penuntut melalui saringan terakhir ketat oleh petugas kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Keadaan kesihatan kami mesti dalam keadaan baik dan segala dokumen perjalanan wajib dibawa perlu ada bersama dan lengkap diisi.

"Kami diberikan taklimat keselamatan terakhir sebelum dibenarkan menaiki bas dan bertolak pada 11.30 malam tadi," katanya.

Penuntut tahun empat perubatan USIM, Sharifah Nahidhah Syed Ibrahim, 22, yang turut menaiki bas yang sama ke IPD Kuala Muda, dia mengucap rasa syukur kerana doanya dan rakan untuk pulang ke kampung dimakbulkan Allah, selepas hampir dua bulan terkandas di universiti.

"Syukur selamat sampai dan ibu serta bapa ternyata amat gembira kerana saya satu-satunya anak mereka yang tidak dapat pulang apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Namun terasa sedih mengenangkan masih ramai kawan sepengajian terkandas di kolej kediaman dan saya berharap mereka dapat pulang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 6:00 PM