Nurul Mizani Sofian,19, menunjukkan surat tawaran menyambung pengajiannya ke USIM kepada ibunya Nur Sairah Idris, 44. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Nurul Mizani Sofian,19, menunjukkan surat tawaran menyambung pengajiannya ke USIM kepada ibunya Nur Sairah Idris, 44. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: Seorang gadis bekas pesakit kanser darah mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk menyambung pengajian di universiti awam berikutan orang tuanya tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar yuran pendaftaran.

Nurul Mizani Sofian, 19, berkata dia mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan pada Khamis lalu dan perlu menjelaskan yuran bermula hari ini sebelum tarikh tutup pada 5 Oktober ini.

"Ketika mendapat tawaran ke USIM, saya sangat gembira kerana dapat ikut jejak kakak sulung saya ke menara gading, tapi yang membuatkan saya risau adalah yuran pendaftaran untuk belajar hampir RM3,000.

"Ayah saya, Sofian Saaid, 50, hanya bekerja sebagai pemandu bas dengan pendapatan bersih RM1,600 sebulan yang digunakan untuk membeli barang keperluan dapur dan keluarga dan membiayai pengajian kakak saya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," katanya yang tinggal di Kampung Sireh, Mukim Tekai Kiri, di sini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, selepas disahkan bebas daripada kanser darah pada April 2019, dia masih perlu berjumpa doktor pakar setiap tiga bulan sekali di Hospital Pulau Pinang.

Katanya, ayahnya sudah banyak berkorban untuk membiayai perubatannya termasuk menjalani lapan pusingan kemoterapi sejak disahkan mengidap kanser pada 2016.

"Ketika kakak saya dapat tawaran ke UKM pada 2019, ayah terpaksa membuat pinjaman daripada institusi kewangan, sekarang dia terpaksa bayar pinjaman RM400 sebulan menyebabkan gajinya tinggal RM1,200 sebulan.

"Ibu saya Nur Sairah Idris, 44, hanya suri rumah, saya kasihan melihat ayah kerana adik berusia 12 tahun masih sekolah dan amat berharap ada sinar untuk kumpul duit dan bayar yuran pengajian sebelum tarikh tutup.

"Buat masa sekarang saya memilih untuk belajar secara dalam talian di rumah kerana yurannya murah sedikit iaitu RM2,200 berbanding tinggal di kampus iaitu hampir RM3,000," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Nurul Mizani boleh menyumbang menerusi nombor akaun Agro Bank milik ibunya Nur Sairah Idris (2005061000158790).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 4:10 PM