DR Mohamad Fadzil (dua kiri) menyerahkan cek tajaan kepada Dekan Fakulti Perubatan UM, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman (kiri) dan Dr Aizura Syafinaz (kanan) pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Alumni UM kepada Kolej Kediaman Ibnu Sina UM. FOTO Mohd Yusni Ariffin
DR Mohamad Fadzil (dua kiri) menyerahkan cek tajaan kepada Dekan Fakulti Perubatan UM, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman (kiri) dan Dr Aizura Syafinaz (kanan) pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Alumni UM kepada Kolej Kediaman Ibnu Sina UM. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Khairul Najib Asarulah Khan


“SEBELUM ini saya terpaksa mengikat perut dengan berpuasa atau makan sajian berat sekali saja untuk jimat kos perbelanjaan,” kata penuntut Universiti Malaya (UM), Nurul Azwa Abu Mansor, 23.

Dia yang mengambil jurusan Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan berkata, kos bidang perubatan adalah tinggi dan dia perlu berjimat cermat.

“Sebelum ini, saya memilih sama ada makan tengah hari atau malam. Jika tiada duit baru berpuasa.

“Namun dengan adanya bantuan makanan yang diusahakan Persatuan Alumni Perubatan UM meringankan beban penuntut yang terdiri daripada keluarga susah,” katanya.

Nurul Azwa ditemui pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Alumni UM kepada Kolej Kediaman Ibnu Sina UM di Kelab Golf Diraja Selangor di sini, semalam.

Cek terbabit diserahkan Wakil Alumni Perubatan UM, Dr Mohamad Fadzil Man kepada Pengetua Kolej Kediaman Ibnu Sina, Prof Dr Aizura Syafinaz Ahmad Adlan.

NURUL Azwa. FOTO Mohd Yusni Ariffin
NURUL Azwa. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Nurul Azwa yang juga anak petani berkata, kini dia tidak perlu memikirkan perbelanjaan makan di universiti.

“Bagi makan tengah hari dan malam ia ditaja sepenuhnya. Terima kasih mereka yang membantu,” katanya berasal dari Alor Setar, Kedah.

Sementara itu, Dr Aizura Syafinaz berkata, menyedari kesusahan segelintir penuntut yang terpaksa mengikat perut membuatkan dia mencari inisiatif membantu.

“Selepas saya memaklumkan kepada Dr Mohamad Fadzil dia mencari dana daripada kenalan terutama alumni UM di samping orang ramai sebelum memulakan program ini pada Mei lalu.

“Alhamdulillah, ramai yang simpati dan menghulurkan sumbangan. Penuntut yang terpilih adalah 53 orang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah atau B40 termasuk beberapa kriteria ditetapkan.

“Setiap seorang penuntut kami peruntukkan RM3,000 setahun untuk perbelanjaan makan mereka,” katanya.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan bolehlah menyalurkan ke akaun CIMB Bank, Alumni Perubatan Universiti Malaya bernombor 8001282447.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 5:30 AM