AIDI menunjukkan langkah pembayaran secara aras talian ketika sidang media Kaedah Pembayaran Zakat Fitrah Negeri Sabah Tahun 2020 di Kota Kinabalu. FOTO YUN MIKAIL
AIDI menunjukkan langkah pembayaran secara aras talian ketika sidang media Kaedah Pembayaran Zakat Fitrah Negeri Sabah Tahun 2020 di Kota Kinabalu. FOTO YUN MIKAIL
Yun Mikail

KAEDAH kutipan zakat secara pandu lalu antara inisiatif diambil Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi pembayar zakat fitrah di negeri ini.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar berkata, pelaksanaan mekanisme berkenaan membabitkan kaunter zakat pandu lalu di lokasi strategik yang sudah dikenalpasti bersesuaian dari segi keselamatan dan pergerakan lalu lintas orang awam.

"Kaedah ini kita akan mulakan Isnin hadapan di perkarangan utama bangunan Wisma MUIS berhadapan kaunter saringan Covid-19.

"Kita akan melihat penerimaan orang awam dengan cara pembaziran seumpama ini di bandar raya ini terlebih dulu.

"Sekiranya diterima baik, barulah inisiatif sama dilaksanakan di daerah lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Kaedah Pembayaran Zakat Fitrah Negeri Sabah Tahun 2020.

Turut hadir, Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali.

Dalam pada itu, Aidi berkata sejajar dengan pelaksanaan kutipan zakat fitrah secara pandu lalu terbabit, amil tidak perlu bersalaman dengan pembayar.

"Amil juga hendaklah memakai penutup mulut dan hidung selain sarung tangan.

"Bagaimanapun, amil yang tidak berada dalam keadaan sihat tidak dibenarkan menjalankan kutipan zakat," katanya.

Sementara itu, selain kutipan zakat pandu lalu, MUIS turut menetapkan tiga kaedah lain pembayaran zakat seperti pembayaran atas talian, kutipan zakat di tempat atau lokasi strategik yang dikenalpasti dan pembukaan kaunter kutipan zakat di ibu pejabat serta semua pejabat cawangan bahagian zakat dan fitrah MUIS seluruh negeri.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 4:38 PM