FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zuhainy Zulkiffli


JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) membenarkan kutipan zakat fitrah dibuat di masjid seluruh Pulau Pinang, namun perlu mengikut syarat ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19.

Pengarahnya Zulkiffli Long berkata, pihaknya tiada halangan terhadap aktiviti itu walaupun masjid pada masa ini diarahkan tutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan.

Katanya, antara syarat berkenaan ialah aktiviti kutipan zakat hanya boleh dilakukan di kawasan parkir kenderaan berkhemah, bilik kuliah atau dewan seminar, bilik pentadbiran atau bilik lain yang bersesuaian.

"Pihak pengurusan masjid perlu memastikan ruang dan dewan solat utama sentiasa dikunci selain tidak membenarkan sesiapa mendirikan solat kecuali imam, bilal dan siak yang bertugas.

"Amil yang dilantik perlu mematuhi tatacara khas dikeluarkan Zakat Pulau Pinang (ZPP) sepanjang menjalankan aktiviti itu dengan mengutamakan keselamatan, kesihatan dan amalan penjarakan sosial," katanya.

Menurutnya, amil zakat yang bertugas perlu menentukan hari bersesuaian bagi melakukan aktiviti kutipan dengan masa dibenarkan bermula 9 pagi hingga 7 malam sahaja.

Katanya, hebahan boleh dilakukan menerusi media sosial, aplikasi WhatsApp, sistem pesanan ringkas (SMS) atau medium lain bersesuaian.

"Pihak pengurusan masjid perlu membuat penandaan panduan beratur mengikut penjarakan sosial satu meter.

"Amil zakat juga perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada balai polis berhampiran sekiranya jumlah kehadiran pembayar zakat melebihi 10 orang dalam satu masa," katanya.

Terdahulu, ZPP mencadangkan kaunter pandu lalu disediakan dalam urusan pembayaran zakat sekiranya kawasan masjid tidak dapat digunakan.

Manakala, Jabatan Mufti Pulau Pinang pula menggalakkan orang ramai supaya melaksanakan pembayaran zakat fitrah tahun ini secara dalam talian.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 1:49 PM