ABDUL Halim Tawil. FOTO Hassan Omar
ABDUL Halim Tawil. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


ALAT komunikasi dan laman sosial perlu dimanfaatkan sebagai pengganti diri untuk umat Islam bagi mengeratkan silaturahim sesama anggota keluarga dan sanak saudara pada Aidilfitri tahun ini.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil dalam kenyataannya berkata, rumah terbuka Aidilfitri tidak boleh diadakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 manakala amalan menziarahi kubur harus digantikan dengan bacaan surah Yasin dan tahlil.

Bagaimanapun menurutnya, amalan menghadiahkan kuih-muih sempena Aidilfitri boleh dilakukan tetapi dengan kaedah yang sesuai berdasarkan garis panduan penjagaan kesihatan bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

"Takbir hari raya di masjid dan surau hanya dilakukan oleh imam, bilal dan siak atau menggunakan rakaman. Digalakkan anggota keluarga melaungkan takbir raya di kediaman masing-masing," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, takbir raya dari rumah ke rumah pada malam Aidilfitri tidak dibenarkan manakala pengendali stesen radio dan televisyen disarankan menyiarkan rakaman takbir raya dengan meletakkan nota bahawa rakaman itu dibuat sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, panduan amalan menyambut Aidilfitri itu diambil berdasarkan Resolusi Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Kali Ke-3 melalui sidang video di Kompleks Islam Putrajaya pada 21 April lalu.

Dalam perkembangan lain, Abdul Halim menjelaskan, prosedur saringan bagi mengesan Covid-19 dengan mengambil sampel lendir (mukus) dalam hidung hingga ke kawasan rongga hidung paling atas (nasopharynx) dan rongga mulut hingga ke kawasan anak tekak (oropharynx) tidak membatalkan puasa.

Katanya, keputusan berkenaan sejajar keputusan Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan Ke-87 pada 25 Jun 2009 yang memperakukan Panduan Berpuasa Bagi Pesakit.

"Pesakit positif Covid-19 yang tidak bergejala dan tidak perlu memakan ubat, wajib berpuasa.

"Jika tidak mampu berpuasa atau jika berpuasa boleh melambatkan kesembuhan atau akan menambahkan kemudaratan (berdasarkan nasihat pakar perubatan), mereka diharuskan tidak berpuasa.

"Bagaimanapun, mereka wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan selepas Ramadan mengikut jumlah hari yang ditinggalkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 9:59 AM