MPKK Kampung Chennah menebang pokok di Jalan Kuala Klawang - Genting Peras sebagai usaha akhir menghalang pergerakan orang ramai dari daerah Hulu Langat yang masuk ke Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM
MPKK Kampung Chennah menebang pokok di Jalan Kuala Klawang - Genting Peras sebagai usaha akhir menghalang pergerakan orang ramai dari daerah Hulu Langat yang masuk ke Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap

 

MAJLIS Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Chennah mengambil keputusan menebang sebatang pokok, hari ini bagi menghalang orang ramai menggunakan jalan Kuala Klawang-Genting Peras di sempadan Jelebu dan Hulu Langat.

Pengerusi MPKK Kampung Chennah, Rosmadi Arif berkata ia sebagai langkah terakhir selepas penghadang batu digunakan untuk menutup jalan itu turut dialihkan individu tidak bertanggungjawab.

Katanya, keputusan itu dibuat berikutan tujuh kampung di Hulu Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 30 Mac lalu.

“Kami dapati ada pihak masih berdegil membuka penghadang batu yang menutup jalan sempadan dua negeri ini.

“Demi keselamatan penduduk Jelebu, MPKK mengambil keputusan menebang pokok sebagai langkah terakhir sebelum tindakan undang-undang diambil pihak berkuasa,” katanya.

Rosmaidi berkata, kerja menebang pokok bersama penduduk kampung dijalankan pada 11 pagi.

Katanya, tindakan itu dilakukan selepas pihaknya melihat ada penduduk dari daerah Hulu Langat datang ke kampung itu sebelum penghadang jalan batu itu didapati dialihkan.

“Kami mengambil keputusan menebang pokok berkenaan yang terletak kira-kira 50 meter dari penghadang batu itu dan menutupi keseluruhan lebar jalan itu,” katanya.

Media sebelum itu melaporkan, Jalan Kuala Klawang-Genting Peras di sempadan daerah Jelebu dan Hulu Langat ditutup kepada semua kenderaan bermula 30 Mac lalu selepas diputuskan dalam mesyuarat Pengurusan Bencana Daerah Jelebu.

 

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 6:08 PM