GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Amanina Suhaini


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan peniaga kedai peralatan komunikasi kerana dipercayai cuba memberi rasuah berjumlah RM500 kepada Pembantu Penguat kuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK).

Ia sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadapnya yang ingkar arahan notis menjalankan perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Difahamkan, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira 2 petang semalam di Pejabat SPRM Cawangan Kluang bagi membantu siasatan.

Suspek kemudian dilepaskan dengan jaminan selepas pihak SPRM mengambil keterangannya dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek dikatakan sudah dikenakan kompaun oleh pihak MPK atas kesalahan ingkar arahan notis kali kedua mengikut Seksyen 109 Akta 171 yang mana jumlah kadar kompaun bagi kesalahan berkenaan berjumlah RM1,000.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan itu.

Beliau berkata, SPRM menasihati semua pihak supaya tidak melakukan sebarang aktiviti rasuah kerana suruhanjaya itu tetap akan mengambil tindakan terhadap setiap aduan kesalahan rasuah yang diterima walaupun dalam tempoh PKP sedang berkuat kuasa.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 10:30 AM