FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


ORANG ramai diminta lebih berwaspada berikutan kerugian akibat penipuan topeng muka dianggarkan mencecah RM4.2 juta setakat ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, modus operandi penipuan ini dilakukan melalui sosial media dan juga secara bersemuka.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kes penipuan penjualan topeng muka dan akan mengambil tindakan tegas.

“Kerugian akibat penipuan dianggarkan mencecah RM4.2 juta dan orang ramai diminta supaya lebih berwaspada.

“Pembeli juga boleh membuat semakan akaun bank penjual dahulu sebelum membuat pembayaran menerusi portal ‘Semakmule’ Jabatan Siasatan Jenayah Komersial atau status penjual dalam talian di laman web www.biztrust.ssm.com.my,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan sama, PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah membuka 229 kertas siasatan berkaitan berita palsu Covid-19 setakat semalam berbanding 220 kertas siasatan hari sebelumnya.

Ismail berkata, daripada jumlah itu sebanyak 161 masih dalam siasatan, manakala 24 kes sudah didakwa di mahkamah dan 13 mengaku salah.

“11 diberikan Notis Amaran manakala 33 kes tiada tindakan lanjut (NFA),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 5:37 PM