PEKERJA warga Myanmar dibawa ke Mahkamah Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
PEKERJA warga Myanmar dibawa ke Mahkamah Sepang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rafidah Mat Ruzki


MAHKAMAH Majistret Putrajaya hari ini mengarahkan 41 pekerja Myanmar yang ditahan selepas menyertai pesta air di sebuah premis pada 12 April lalu membayar denda RM1, 000 setiap seorang kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret A Akhiruddin@Boy Acho turut mengarahkan mereka dihukum penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan selepas pekerja terbabit mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mereka yang berusia antara 19 hingga 34 tahun didakwa mengikut Peraturan 6 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 kerana berhimpun untuk menjalankan aktiviti keagamaan iaitu Pesta Air Thingyan yang diisytiharkan sebagai satu kawasan tempatan jangkitan iaitu negeri Selangor.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 8.30 malam hingga 10 malam pada 12 April lalu di asrama pekerja lelaki di sebuah kilang di daerah itu.

Berikutan bilangan tertuduh yang ramai, Akhiruddin terpaksa mendengar kes itu dalam kamar Mahkamah Sesyen di kompleks sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya memberitahu mahkamah, pihaknya memohon mahkamah mengambil kira fakta kes bahawa kesemua tertuduh berhimpun mengadakan pesta air pada tempoh PKP sedang dilaksanakan.

Menurutnya, sebagai individu yang tinggal dan bekerja di negara ini seharusnya peka berikutan penguatkuasaan perintah itu disebarkan melalui media massa selain sudah juga dimaklumkan oleh majikan.

Justeru, katanya, tindakan kesemua tertuduh itu seperti mencabar undang-undang negara ini.

Beliau juga memohon kepada mahkamah untuk mengambil kira video perhimpunan itu tersebar melalui media sosial dan ketahui orang ramai.

Oleh itu, beliau berkata, pihaknya memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal terhadap semua tertuduh supaya mengajar dan menyedarkan mereka dengan kesalahan serius yang dilakukan serta mencegah pekerja terbabit dan masyarakat umum daripada melanggar perintah kerajaan.

Sementara itu, peguam G Rajasingam yang mewakili kesemua tertuduh berkata, kesemua mereka datang ke negara ini secara sah dan baru saja mula bekerja di kilang terbabit.

Menurutnya, semua tertuduh adalah orang susah dan mempunyai tanggungan di kampung halaman mereka.

Katanya, anak guamnya itu melakukan kesilapan meraikan tahun baharu mereka ketika itu.

Difahamkan, kesemua mereka akan membayar denda itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 1:27 PM