PENGHANTAR melintas di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. FOTO Asyraf Hamzah
PENGHANTAR melintas di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. FOTO Asyraf Hamzah
Nurul Hidayah Bahaudin


KES kemalangan mencatatkan penurunan hampir 70 peratus semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi fasa pertama dan kedua membabitkan 10,382 kemalangan dicatatkan di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 130 kemalangan maut membabitkan 145 kematian dicatatkan bagi tempoh 18 Mac hingga 14 April lalu.

“Purata kemalangan bagi tempoh PKP hingga fasa kedua adalah sebanyak 370 kemalangan setiap hari dan menunjukkan penurunan hampir 70 peratus pada hari biasa dengan purata 1,500 kemalangan setiap hari.

“Malah, jumlah kes kemalangan maut juga penurunan antara empat hingga lima kes setiap hari berbanding kadar purata 16 hingga 17 kes setiap hari dicatatkan pada hari biasa.

“Daripada jumlah kemalangan maut itu, 80 peratus membabitkan pengguna motosikal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Ketika ditanya mengenai persiapan polis menjelang Ramadan nanti, Azisman berkata, pihaknya sedang melakukan penelitian bagi penguatkuasaan PKP bagi tempoh berkenaan yang bergantung kepada pengumuman serta polisi kerajaan.

“Bagi JSPT, semakin berkurang jumlah kenderaan, semakin baik kerana jumlah kemalangan serta kesesakan juga berkurangan.

“Apabila kerajaan mengumumkan tiada bazar Ramadan, bagi saya ia adalah lebih baik bagi memutuskan rantaian Covid-19 selain mengurangkan kesesakan lalu-lintas,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 3:11 PM