GAMBAR hiasan. FOTO Saddam Yusoff
GAMBAR hiasan. FOTO Saddam Yusoff
Rosyahaida Abdullah


PEMBATALAN Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi subjek bertulis yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 28 September hingga 1 Oktober depan disambut baik rata-rata ibu bapa.

Seiring pembatalan beberapa peperiksaan utama lain seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga, langkah itu disifatkan mampu mengurangkan tekanan murid dan pihak sekolah dari segi persediaan terhadap ujian selepas sesi persekolahan dibuka semula nanti.

Penjawat awam, Nuraini Abdullah@Zakaria, 44, berkata keputusan itu dianggap wajar berikutan murid kini melalui sesi pembelajaran secara maya yang mengehadkan penyampaian ilmu berbanding di bilik darjah.

Katanya, jika UPKK tidak dibatalkan, bukan saja murid malah guru akan terbeban untuk menghabiskan silibus sebelum peperiksaan dilaksanakan apabila sekolah dibuka semula nanti.

NURAINI Abdullah@Zakaria, bersama anaknya, Sarah Nur Nadya Shahril Effendi, 11 yang sepatutnya menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA pada tahun ini.
NURAINI Abdullah@Zakaria, bersama anaknya, Sarah Nur Nadya Shahril Effendi, 11 yang sepatutnya menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA pada tahun ini.

“Sekarang ini, anak saya banyak memberi tumpuan kepada menyiapkan kerja sekolah yang diberi guru dari semasa ke semasa termasuklah tugasan sekolah KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardu Ain).

“Pada saya, kita perlu akur dengan keputusan ini cuma saya harap kaedah penilaian untuk menggantikan UPKK nanti mengambil kira kemampuan murid untuk menguasai semua silibus.

“Ini kerana apabila pembelajaran secara bersemuka tidak berlaku, ia tentunya memberi kesan kepada murid untuk skor dengan lebih baik seperti calon tahun-tahun sebelum ini,” katanya kepada Harian Metro.

Bagi Nazaha Jaafar, 38, berkata keputusan itu agak melegakan berikutan anaknya tidak perlu terkejar-kejar mengulangkaji pelajaran bagi peperiksaan akhir tahun apabila sekolah dibuka.

NAZAHA Jaafar, 38, bersama anaknya, Muhammad Zharis Naufal Zaini, 11 yang sepatutnya menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA pada tahun ini.
NAZAHA Jaafar, 38, bersama anaknya, Muhammad Zharis Naufal Zaini, 11 yang sepatutnya menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA pada tahun ini.

Jelasnya, biarpun sekolah sudah dibuka nanti, murid memerlukan masa untuk kembali menyesuaikan diri dengan suasana persekolahan memandangkan ia sudah agak lama ditinggalkan.

“Anak saya sedikit kecewa apabila saya maklumkan tiada UPKK pada tahun ini kerana dia ingin mencabar diri dan mahu turut sama memperoleh gred cemerlang seperti sepupunya pada tahun lalu.

“Tapi pada masa sama dia juga nampak gembira kerana tidak perlu menduduki peperiksaan itu.

“Saya ikut saja apa yang diputuskan kerajaan selagi ia dirasakan terbaik untuk semua murid. Kalaupun peperiksaan dilakukan secara dalam talian, saya tidak kisah asalkan ada mekanisme terbaik untuk memastikan ia buat secara telus dan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Alia Mohd Azrin, 49, pula berkata, melihat kelas secara dalam talian yang diikuti anaknya setiap hari, dia tidak begitu yakin anaknya mampu menguasai 100 peratus kandungan pembelajaran terbabit.

“Pembelajaran secara bersemuka dan maya terlalu berbeza terutama dari segi kemampuan anak saya untuk terima ilmu yang disampaikan ustazah.

“Pembatalan ini saya kira bukan memanfaatkan murid itu sendiri malah membolehkan guru KAFA mengkaji semula keperluan tajuk dan silibus sedia ada untuk memastikan murid mampu menguasainya dalam tempoh yang semakin singkat,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini mengumumkan pelaksanaan UPKK bagi subjek bertulis yang dijadual diadakan pada 28 September hingga 1 Oktober depan di seluruh negara dibatalkan.

Melalui perutusan di Facebook, Dr Zulkifli berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil kira keputusan itu bagi menjamin keselamatan dan kesihatan murid ketika negara berdepan krisis Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 7:33 PM