SALURAN Didik TV KPM penuhi keperluan pelajar terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.
SALURAN Didik TV KPM penuhi keperluan pelajar terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.
Nurul Husna Mahmud

Kuala Lumpur: Saluran Didik TV KPM inisiatif terbaik dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membantu golongan pelajar luar bandar kepada akses pendidikan atau pembelajaran yang berkualiti.

Ia juga membantu pelajar mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara lebih berkesan.

Hal itu dikongsi Guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kg Soeharto Kuala Kubu Bharu, Selangor, Hasfariza Abdul Hamid mengenai keberkesanannya terhadap pelajar.

"Didik TV KPM ini sangat relevan bagi keperluan pelajar terutama yang tinggal di kawasan pedalaman serta ia satu kemudahan untuk pembelajaran mereka.

"Kesimpulan mudah ialah inisiatif ini dapat dimanfaatkan semua peringkat kerana dari segi logiknya hampir semua rumah di Malaysia mempunyai televisyen iaitu medium utama bagi paparan saluran berkenaan selain paparan di Youtube," katanya.

Menurut Hasfariza, saluran berkenaan juga menepati sukatan KPM selain koheren dengan persekitaran seperti mana pembelajaran berlangsung dalam kelas.

"Meskipun penyampaian pembelajaran dalam saluran ini ditampilkan secara santai dengan kehadiran pengacara namun suasana pembelajaran termasuklah kandungan dan kaedah pengajaran antara paling hampir dengan persekitaran di dalam kelas.

"Ada ruang untuk pelajar berkomunikasi dengan guru menerusi Google Meet dan aspek penting iaitu kemahiran yang guru ingin pelajar dalami dapat disampaikan dengan baik menerusi platform ini," katanya.

Kebaikan lain ialah saluran pendidikan itu turut memberi kemudahan kepada guru apabila cukup praktikal digunakan sebagai alat bantuan mengajar selain membantu memperkukuhkan kefahaman pelajar dalam sesuatu topik atau subjek dipelajari.

"Kalau sebelum ini kami pendidik capai pelajar melalui WhatsApp dan Telegram sahaja namun dengan inisiatif Didik TV KPM ini, tugas guru lebih mudah apabila dengan menyalin semula link disediakan melalui saluran pendidikan itu.

"Ia boleh jadi satu bahan mengajar dan membantu pengukuhan pelajar kerana mereka boleh mengulang kaji menerusi Youtube," katanya.

Bagi pelajar tingkatan lima SMK Kg Soeharto, Nurul Amalina Salleh, dirinya lega apabila inisiatif saluran pendidikan KPM itu membantu mengulang kaji subjek atau topik tidak sempat dipelajari.

"Bagi saya, sebagai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya akui ada kerisauan untuk menghadapi peperiksaan penting itu kerana banyak sukatan pelajaran ketika tingkatan empat tidak dapat dikuasai sepenuhnya.

"Itu dapat diatasi dengan Didik TV KPM apabila bukan sahaja menampilkan guru berkemahiran tinggi yang berkongsi teknik dan kemahiran, malah kandungan komprehensif menepati keperluan pelajar apabila kami membuat ulang kaji," katanya yang mengetahui mengenai kemudahan saluran berkenaan selepas dimaklumkan oleh abang dan guru di sekolah.

Pelajar lain, Nur Alia Natasha Sharizan, 17, pula mengakui pengalaman menggunakan platform saluran itu dalam mengulang kaji pelajaran membuatkan sesi ketika belajar di rumah suatu menyeronokkan.

"Selain pengisian topik atau kandungan yang menarik, saya tertarik dengan gimik penyampaian guru Didik TV KPM kerana kreatif dalam membantu pelajar faham dengan topik pembelajaran.

"Paling penting saluran itu sangat membantu pelajar membuat ulang kaji kerana rakaman dikongsi dalam Youtube boleh dirujuk berkali-kali.

"Pastinya tiada lagi maklumat yang tertinggal berbanding ketika sesi dalam kelas yang memerlukan saya memberi penumpuan penuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 7:10 AM