ANTARA perjudian dalam talian yang boleh diakses di Facebook. FOTO Omar Ahmad
ANTARA perjudian dalam talian yang boleh diakses di Facebook. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


SINDIKET judi dalam talian yang memanfaatkan semua platform media sosial dan aplikasi telefon pintar menyebabkan semakin ramai yang menjadi mangsa.

Lebih memburukkan keadaan apabila mangsa menjadi ketagih sehingga sanggup meminjam daripada Ah Long dan akhirnya menanggung beban hutang.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, sepanjang tahun lalu terdapat 28 aduan diterima membabitkan judi dalam talian dan jumlah itu meningkat setakat pertengahan Mac ini yang mencatatkan 20 aduan.

Katanya, mangsa terdiri dalam kalangan belia berusia 28 hingga 35 tahun yang banyak terdedah dengan media sosial dan menggunakan aplikasi telefon pintar.

“Aduan yang kami terima bukan sahaja dari Johor dan mereka datang meminta kami membantu menyelesaikan masalah apabila terjerat dengan aktiviti judi dalam talian.

“Tahun lalu, daripada 28 aduan yang dikendalikan, empat pengadu adalah remaja perempuan dan ini sesuatu yang membimbangkan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Pelangi, hari ini.

Menurut Michael, pihaknya pernah mengendalikan kes membabitkan seorang pemuda yang mewarisi kekayaan keluarganya dan juga pemilik sebuah hotel di Bandaraya Johor Bahru yang menjadi hamba judi.

Katanya, pada permulaan lelaki berusia 30-an itu menang judi sebanyak RM700,000 dan dia menjadi ketagih untuk menang lebih besar.

“Bahkan dia meminjam dengan Ah Long sebanyak RM1.2 juta kerana ketagih berjudi dan akhirnya hotel yang diwarisi dari keluarga tergadai dan dia muflis,” katanya.

Michael berkata, ibu bapa dan keluarga disaran mengawasi anak-anak yang banyak terdedah dengan media sosial dan aplikasi telefon pintar supaya tidak terjerat dengan judi dalam talian yang banyak mendatangkan mudarat.

Katanya, ada ibu bapa mengadu anak mereka kerap terperap dalam bilik tetapi tidak menyangka mereka terjebak dengan judi dalam talian.

“Ada yang berani meminjam daripada Ah Long dan melarikan diri menyebabkan ibu bapa yang jadi mangsa rumah mereka diganggu oleh konco-konco lintah darat itu,” katanya.

#kw, judi dalam talian, ah long, belia, Michael Tay

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 3:51 PM