GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

EXPRESS Rail Link Sdn Bhd (ERL) selaku pengendali perkhidmatan kereta api KLIA Ekspres dan KLIA Transit yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2 dan bandaraya Kuala Lumpur terus melaksanakan penggantungan sementara perkhidmatan sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Langkah itu susulan pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pelanjutan tempoh PKP sehingga 28 April ini.

"Apabila PKP tamat, ERL akan segera mengumumkan jadual baharu untuk menyediakan perkhidmatan kereta api yang diperlukan oleh penumpang tren dan penumpang udara," menurut kenyataan itu tadi.

Syarikat itu berkata butiran masa tren untuk semakan akan dipaparkan di laman webnya, www.KLIAekspres.com, sekurang-kurangnya tiga hari sebelum berakhirnya tempoh PKP.

“ERL sudah memutuskan untuk menggantung sementara perkhidmatannya dari 4 April sepanjang tempoh pelanjutan PKP.

"ERL memohon maaf di atas kesulitan yang terpaksa dihadapi dan penumpang dinasihatkan supaya mengambil langkah alternatif untuk pengangkutan mereka. Penumpang boleh mengemukakan sebarang tiket yang tidak digunakan untuk pembayaran balik menerusi Pertanyaan Pelanggan di talian 03-2267 8000 (Isnin hingga Jumaat, dari 8.30 pagi hingga 6 petang),” menurut ERL.

Pengendali pengangkutan awam di beberapa negara seluruh dunia juga mengambil langkah sama menggantung sementara perkhidmatan mereka termasuk City Airport Train di Vienna, Rhonexpress di Lyon, Gatwick Express di London, Gautrain di Johannesburg dan Airport Express Line di New Delhi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 8:00 PM