Farazila menjadi sukarelawan sepanjang tempoh PKP untuk menghasilkan PPE kepada petugas barisan hadapan di Bengkel Jahitan KEMAS D'Anggun Kota Tinggi, Kota Tinggi. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Farazila menjadi sukarelawan sepanjang tempoh PKP untuk menghasilkan PPE kepada petugas barisan hadapan di Bengkel Jahitan KEMAS D'Anggun Kota Tinggi, Kota Tinggi. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Nurul Amanina Suhaini


“APABILA jahit baju ini, terasa dekat dengan dia mereka,” kata guru Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kampung Mawai, Farazila Mohamd Pazil, 41.

Farazila adalah sukarelawan yang menjahit peralatan perlindungan diri (PPE) di Bengkel Jahitan KEMAS D’Anggun Kota Tinggi di sini, untuk dibekalkan kepada beberapa hospital di negeri ini.

Katanya, adik bongsunya, Fara Azika, 30, adalah salah seorang petugas barisan hadapan yang memikul tanggungjawab berat dalam usaha menangani Covid-19.

Katanya, Fara Azika yang berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Kota Tinggi tidak pernah mengeluh kerana berjauhan daripada keluarga termasuk dua anaknya.

“Saya menjadi sukarelawan untuk bantu menjahit menghasilkan baju makmal pakai buang, sarung kepala, sarung kaki dan sarung tangan.

“Saya cuba pakai baju ini dan memang sangat panas. Ini baru satu lapis, bayangkan Fara Azika pakai tiga ke empat lapis, pasti kepanasan,” katanya yang menjahit bersama 17 sukarelawan.

Dalam pada itu katanya, dia sering berhubung dengan Fara Azika dan memberi kata-kata semangat supaya dapat moralnya terus tinggi.

Dalam pada itu, Penyelaras KEMAS Daerah Kota Tinggi, Saiful Azman Md Said berkata, sehingga kini, 520 PPE diagihkan kepada petugas barisan hadapan.

“Kain disumbangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), berikutan kekangan mesin jahit, hanya 18 set sehari kami mampu hasilkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 5:49 PM