Nik Ezanee. FOTO Arkib NSTP
Nik Ezanee. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN seorang lelaki warga Bangladesh ingkar arahan pihak polis dengan berjoging di Taman Permainan Flat Meranti S/D 12/2 Sri Damansara di Petaling Jaya, semalam, mengundang padah.

Lelaki berusia 20 tahun itu antara 10 individu yang ditahan dalam tujuh tangkapan menerusi Operasi Covid-19 (Op Covid) yang dijalankan dalam tempoh 24 jam di Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di sekatan jalan raya di Jalan Persiaran Surian menghala ke Pelangi Damansara kerana gagal memberi alasan munasabah, semalam.

“Kami turut menahan tiga lelaki berusia antara 21 hingga 22 tahun yang berkumpul di Taman Permainan Jalan Sepah Puteri 5/10 Seksyen 5 Kota Damansara selepas enggan beredar, hari sama.

“Selain itu, polis menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 24 tahun di sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Buloh Damansara Damai kerana gagal memberi alasan kukuh mengenai pergerakannya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 23 tahun di sekatan jalan raya di Plaza Tol Subang Kelana Jaya kerana memberi alasan tidak munasabah.

“Dua lelaki pula ditahan di lorong belakang sebuah kedai barang lusuh di Jalan PJS 3/6, hari ini, kerana gagal memberikan alasan munasabah mengenai pergerakan mereka.

“Kami turut menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di sekatan jalan raya di Plaza Tol PJS 2, hari ini, kerana gagal memberi alasan munasabah,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, seramai 157 individu ditahan di daerah ini dengan 17 daripadanya sudah dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya selain 80 kertas siasatan dibuka.

“Kami memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi arahan PKP yang sudah memasuki fasa kedua bermula 1 April lalu. Kegagalan mematuhi arahan ini boleh mengakibatkan orang ramai ditahan dan didakwa di mahkamah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 7:51 PM