JURURAWAT memeriksa suhu badan orang ramai. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
JURURAWAT memeriksa suhu badan orang ramai. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
BERNAMA

LAPAN individu dalam siasatan (PUI) atau kontak rapat pesakit dijangkiti Covid-19 di Sabah dikenakan tindakan undang-undang kerana tidak mematuhi arahan kuarantin di rumah selama 14 hari, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi.

Beliau berkata, lapan individu terbabit masing-masing tiga dari Papar dan lima dari Tawau.

Katanya, kesemua mereka dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Seksyen itu memperuntukkan kuasa kepada mana-mana pegawai untuk memerintahkan individu diasingkan di rumah dan dikehendaki mematuhi segala perintah yang ditetapkan.

Kegagalan untuk mematuhi perintah itu menyebabkan individu berkenaan berdepan dengan hukuman di bawah Seksyen 24 akta berkenaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-keduanya sekali.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) ingin mengingatkan semua individu terbabit (dengan arahan kuarantin di rumah) wajib mengikut arahan itu dan jika ingkar boleh disabitkan kesalahan di bawah akta berkenaan,” katanya, dalam kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Christina berkata, seramai 4,022 orang diletakkan di bawah kuarantin di rumah setakat 6 petang semalam, daripada jumlah itu, seramai 3,790 orang masih dalam pemerhatian JKNS manakala selebihnya atau 232 orang sudah tamat tempoh kuarantin selama 14 hari.

Beliau berkata, seramai 553 ditempatkan di 13 pusat kuarantin di sembilan daerah di Sabah dan enam daripadanya sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Pusat Kuarantin itu termasuk Asrama Harrington di Kota Kinabalu; Rumah Rehat dan Kem Bina Negara Kundasang di Ranau; Felda Resident Sahabat dan Plasma Inn Station MPOB di Lahad Datu; Rumah Rehat Kinabatangan; Institut Perguruan Tawau; dan Projek Perumahan Rakyat Batu Puteh di Sandakan.

Mengulas video kakitangan Hospital Lahad Datu yang menjahit sendiri peralatan perlindungan diri (PPE) yang tular di media sosial, Dr Christina berkata, ia adalah usaha inovatif kakitangan hospital sementara menunggu bekalan PPE sampai ke hospital mereka.

“Ini bukan bermaksud JKNS gagal melakukan perolehan untuk peralatan ini atau ketidakprihatinan kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon menjelaskan kekurangan PPE adalah disebabkan masalah bekalan dan bukannya kekangan kewangan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    h

  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 10:44 AM