DEWAN yang dijadikan stor penyimpanan barangan keperluan dipecah masuk. FOTO Ihsan FB Lee Khai Loon
DEWAN yang dijadikan stor penyimpanan barangan keperluan dipecah masuk. FOTO Ihsan FB Lee Khai Loon
Nur Izzati Mohamad


SEKUMPULAN individu memecah masuk sebelum melarikan bekalan barangan keperluan harian yang disimpan di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Alma di Bukit Mertajam, semalam.

Kejadian disedari pada 1 tengah hari itu oleh seorang pegawai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok sebelum menghubungi polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd Mustafa Bidin berkata, pegawai berusia 25 tahun berkenaan pergi ke dewan terbabit sebelum terkejut apabila mendapati premis itu dipecah masuk.

“Dia kemudian melakukan pemeriksaan dan didapati barangan seperti 59 kampit beras, 40 tin sardin, 30 bungkus mi segera, 30 bungkus bihun, 10 papan telur dan 30 bungkus pelbagai biskut hilang.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati satu set penghawa dingin termasuk kompresor di dalam dewan terbabit dilarikan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

TIGA unit penghawa dingin turut hilang. FOTO Ihsan FB Lee Khai Loon
TIGA unit penghawa dingin turut hilang. FOTO Ihsan FB Lee Khai Loon

Katanya, barangan itu disumbangkan oleh wakil rakyat kawasan berkenaan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan dewan terbabit dijadukan stor penyimpanan.

“Barangan itu untuk disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan pejabat ADUN dalam jarak 30 meter, tetapi tidak menfokuskan lokasi kejadian.

“Usaha memburu suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon berkata, beliau kesal dengan tindakan individu yang sanggup mengambil barangan terbabit untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 6:11 PM