NGO MyHumanitarian menyampaikan sumbangan sepanjang PKP.
NGO MyHumanitarian menyampaikan sumbangan sepanjang PKP.
Wartawan HM

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) lega selepas Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengeluarkan prosedur standard (SOP) penyaluran sumbangan bantuan kepada kumpulan sasar berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Persatuan Gerakan Kemanusiaan Malaysia (MyHumanitarian) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, gerak kerja agihan bantuan akan bercelaru dan menjejaskan tumpuan utama kerajaan untuk membebaskan negara dari ancaman wabak Covid-19.

“Ternyata menteri mendengar pandangan dan saranan kami penggerak NGO dan sukarelawan.

“Sekarang adalah masanya untuk setiap individu dan NGO bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyahut seruan Perdana Menteri bagi membantu kumpulan sasar akibat PKP.

“Kami di MyHumanitarian sudah lama bersedia kerana SOP yang disediakan oleh JKM adalah seiring dengan SOP MyHumanitarian yang kami gerakkan sejak awal PKP fasa pertama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin JKM menyediakan SOP bagi membolehkan pelbagai pihak menyelaraskan aktiviti bantuan kepada kumpulan sasar.

Antara SOP ditetapkan termasuk NGO terbabit mestilah berorientasikan kebajikan dan perlu menghubungi bilik gerakan JKM negeri sehari sebelum aktiviti penyaluran sumbangan.

Mohamed Maliki percaya setiap NGO mempunyai kepakaran masing-masing dan memiliki akses kepada golongan yang memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 5:58 PM