PENSYARAH berusia 40 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS), hari ini. FOTO NSTP
PENSYARAH berusia 40 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS), hari ini. FOTO NSTP
Mohd Roji Kawi

PENSYARAH sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kota Samarahan menjadi korban terbaharu wabak Covid-19 di Sarawak.

Lelaki berusia 40 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS), hari ini.

Ia menjadikan jumlah korban akibat wabak Covid-19 di Sarawak kini meningkat kepada lapan orang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, sebanyak 21 kes positif direkodkan di Sarawak hari ini.

Beliau berkata, 20 daripadanya dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) manakala satu lagi di Hospital Sibu.

“Kes positif terbaharu itu menjadikan sejumlah 135 disahkan jangkitan wabak Covid-19 di Sarawak sehingga kini.

“Ketika ini kami meningkatkan kemampuan untuk melakukan Transcription-Polymerase Chain Reaction (PCR).

“Ini antara penyumbang utama keupayaan kami mengesan lebih banyak kes positif,” katanya ketika sidang media di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Dr Sim berkata, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) L kini membantu HUS melakukan ujian PCR.

“Hospital Sibu sudah memulakan ujian PCR sejak malam tadi dan kini pihak kaki sedang berusaha untuk menyediakan kemudahan itu di Hospital Miri dan Hospital Bintulu bagi meningkatkan keupayaan mereka melakukan ujian dengan cepat,” katanya

Sementara itu, Dr Sim menggesa lebih ramai individu yang mempunyai hubungan rapat atau kontak dengan sesiapa dari semua kluster Covid-19 atau mereka yang pernah mengembara ke negara-negara yang dijangkiti pada pertengahan bulan Februari tahun ini supaya tampil untuk melakukan pemeriksaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 6:30 PM