ANTARA yang ditahan kerana mengingkari PKP ketika mengadakan Op Covid-19 sekitar Seberang Perai Utara, FOTO Ihsan PDRM.
ANTARA yang ditahan kerana mengingkari PKP ketika mengadakan Op Covid-19 sekitar Seberang Perai Utara, FOTO Ihsan PDRM.
Nur Izzati Mohamad


MELEPAK, menghisap dadah dan berjudi masih dilakukan sekumpulan lelaki di beberapa lokasi sekitar Seberang Perai Utara dalam Op Covid-19 yang diadakan sejak semalam hingga awal pagi, hari ini.

Kedegilan mereka mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memaksa pihak polis menahan kumpulan berkenaan untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, seramai 30 individu ditahan dalam operasi antara 3.30 petang semalam hingga 1.40 pagi, hari ini.

“Walaupun berkali-kali arahan dikeluarkan tetapi masih ada lagi yang mengingkari PKP dan memaksa polis melipat gandakan usaha bagi fasa kedua ini.

“Polis menyeru sekali lagi supaya penduduk mematuhi arahan bagi membantu menghapuskan penularan wabak Covid-19 yang begitu berbahaya,” katanya dalam kenyataan di Kepala Batas, hari ini.

Katanya, kesemua individu ditahan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 25 (1) (n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit 2020.

Menurutnya, sepanjang fasa pertama Op Covid-19, polis daerah itu menahan seramai 111 individu dan membuka 23 kertas siasatan.

“Kertas siasatan yang dibuka membabitkan kesalahan jenayah dan dadah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 6:15 PM