SEKUMPULAN lelaki yang berada dalam keadaan mabuk ditahan kerana ingkar PKP. FOTO Ihsan PDRM.
SEKUMPULAN lelaki yang berada dalam keadaan mabuk ditahan kerana ingkar PKP. FOTO Ihsan PDRM.
Nur Izzati Mohamad


MELEPAK sambil dalam keadaan khayal selepas menikmati minuman keras di tepi sungai seperti tiada apa-apa berlaku.

Itu perbuatan dilakukan sembilan lelaki berusia 21 hingga 34 tahun ketika ditahan di kawasan Ujong Batu, Butterworth, pada 5 petang semalam kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, anggota polis yang ternampak gelagat sekumpulan lelaki itu mengarahkan mereka bersurai dan pulang ke rumah masing-masing.

“Bagaimanapun, mereka yang berada dalam keadaan mabuk tidak mempedulikan arahan yang diberikan hingga memaksa tangkapan dibuat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pemeriksaan di lokasi menemui botol minuman keras dan air berkarbonat termasuk sembilan cawan yang digunakan kumpulan lelaki terbabit.

Noorzainy berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada empat pelajar kolej, juruteknik, pekerja kilang dan buruh.

“Semakan yang dibuat polis mendapati ada di antara mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kesemua mereka ditahan untuk siasatan di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan Seksyen 21 Kanun Keseksaan kerana mabuk di tempat awam,” katanya.

Sementara itu, Noorzainy sekali lagi mengingatkan kepada orang ramai supaya patuh dengan PKP dan pihaknya akan terus melakukan pemantauan secara berterusan bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 9:56 AM