FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noor Atiqah Sulaiman


ANGKATAN Pertahanan Awam (APM) bersama beberapa agensi lain mengadakan operasi nyah cemar bersepadu Covid-19 di Presint 15 Putrajaya, hari ini, dalam usaha menangani penularan wabak itu.

Selain APM, turut terbabit dengan operasi berkenaan ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Kementerian Kesihatan (KKM), Alam Flora dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu mengawal keselamatan.

Operasi nyah cemar yang diadakan selama empat hari itu bermula hari ini turut meliputi beberapa kawasan di Putrajaya seperti Presint Diplomatik, Putrajaya Sentral, Hospital Putrajaya, MyFarm Outlet di Presint 7 dan Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya (IPD Putrajaya).

Selain itu, turut dijalankan proses nyah cemar ialah pasar dan bazar di Presint 8 serta semua kompleks kerajaan yang terdapat di pusat pentadbiran kerajaan itu.

Difahamkan, turut hadir ketika operasi berkenaan ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Sehingga kini, 2,626 kes positif Covid-19 dilaporkan di negara ini dan daripada jumlah berkenaan sebanyak 24 kes di Putrajaya dan ia diklasifikasikan sebagai zon kuning.

Putrajaya juga turut mencatatkan dua kematian setakat ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 3:55 PM