BADRUDDIN (tiga kiri) bersama Hasim (lima kiri), Ahmad Ishak (empat kiri) dan Rosly (enam kiri) melihat barang keperluan yang dijual di MyFarm Outlet. FOTO Fariz Iswadi Ismail
BADRUDDIN (tiga kiri) bersama Hasim (lima kiri), Ahmad Ishak (empat kiri) dan Rosly (enam kiri) melihat barang keperluan yang dijual di MyFarm Outlet. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Orang ramai boleh mendapatkan barangan keperluan utama di pasar belian terus hasil pertanian atau MyFarm Outlet yang beroperasi mulai hari ini di Presint 7, di sini.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, MyFarm Outlet yang dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam adalah satu kemudahan yang diberikan kepada masyarakat khususnya penduduk Putrajaya mendapatkan barang keperluan pada harga berpatutan.

"Barangan keperluan utama seperti ayam, ikan dan sayuran ditawarkan pada harga yang berpatutan selaras dengan kehendak kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat.

"Kita turut merancang dan menyusun beberapa lagi aktiviti yang boleh dilakukan di tapak ini pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada majlis doa selamat dan ramah mesra bersama usahawan MyFarm Outlet di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak; Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail dan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan.

Badruddin berkata, aktiviti berkenaan dirancang bagi menjadikan tapak ini sebagai satu daripada aktiviti hujung minggu bersama keluarga selain lokasi membeli belah pilihan.

Pembukaan MyFarm Outlet diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari lalu.

MyFarm Outlet memberi peluang kepada pengguna yang tinggal di kawasan bandar mendapatkan bekalan makanan basah pada harga berpatutan serta kualiti yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 11:50 PM