LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
Balqis Jazimah Zahari


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melantik tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan untuk tujuh Ahli MMK ini berlangsung secara ringkas di Istana Kinta hari ini, bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kerajaan Perak dengan penuh hormat dan takzimnya merafakkan sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk melantik tujuh Ahli Dewan Negeri sebagai Ahli MMK Negeri Perak.

“Pelantikan ini adalah bagi melengkapkan pembentukan jentera pentadbiran Kerajaan Negeri selepas pelantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar ke-13 pada 13 Mac 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Suaidi berkata, jumlah tujuh Ahli MMK ini adalah memadai bagi membantu Menteri Besar menjalankan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri berfungsi, selari dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Beliau berkata, tujuh ahli MMK yang dilantik adalah Datuk Saarani Mohamad, Razman Zakaria, Datuk Shahrul Zaman Yahya, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, Datuk Abdul Yunus Jamahri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin, Mohd Akmal Kamarudin.

Katanya, pembahagian portfolio Ahli MMK yang dilantik hari ini akan ditentukan dalam masa terdekat manakala pengisian baki tiga lagi kuota Ahli MMK akan diputuskan kemudian sekiranya ada keperluan

  • 7 EXCO Perak angkat sumpah
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 3:41 PM