EXCO kerajaan negeri Perak selesai mengangkat sumpah di Istana Kinta. FOTO ihsan Pejabat Menteri Besar Perak
EXCO kerajaan negeri Perak selesai mengangkat sumpah di Istana Kinta. FOTO ihsan Pejabat Menteri Besar Perak
Balqis Jazimah

TUJUH anggota EXCO kerajaan negeri Perak mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, Ipoh, hari ini.

Mereka adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad (UMNO); ADUN Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (UMNO); dan ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya (UMNO).

Selain itu, ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin (PAS); ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria (PAS); ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari (Bersatu) dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi (Bersatu) turut mengangkat sumpah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan perkara berkenaan sebaik bertemu media di hadapan pintu masuk Istana Kinta.

“Alhamdulillah hari ini Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengangkat sumpah sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.

“Jadi ada berbaki tiga kerusi yang akan diisi dan InsyaAllah ianya akan dilakukan dalam masa terdekat ini, mungkin selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Ahmad Faizal berkata, pembahagian portfolio pula setakat ini masih di peringkat rundingan.

“InsyaAllah selepas ini saya hendak berjumpa dengan semua ahli mesyuarat yang sudah mengangkat sumpah.

“Bagi berbincang dari hati ke hati untuk kita membina satu pasukan yang mantap untuk negeri dan untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim akan mengeluarkan kenyataan penuh berkenaan dengan majlis angkat sumpah dalam masa terdekat.

“Setiausaha Kerajaan negeri akan mengeluarkan kenyataan berkenaan angkat sumpah hari ini, selepas ini saya akan membuat kenyataan pula berkenaan dengan senarai portfolio,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 1:26 PM