AHMAD Suaidi. FOTO Effendy Rashid.
AHMAD Suaidi. FOTO Effendy Rashid.
Balqis Jazimah Zahari


JAWATAN Datuk Bandar Ipoh akan dipangku Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim sehingga pelantikan calon baharu bagi jawatan itu diumumkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan itu sudah dibuat sejak awal ketika Ahmad Suaidi yang juga bekas Datuk Bandar Ipoh dilantik SUK sebelum ini.

“Hari ini pihak berkuasa negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) sudah membuat keputusan agar sehingga satu calon diangkat sebagai Datuk Bandar Ipoh segala tugasan itu akan dipangku oleh SUK Negeri Perak.

“Jadi, tidak ada isu kita tidak mempunyai Datuk Bandar, kita ada Datuk Bandar (pemangku) iaitu Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

“Ia menjadi pihak berkuasa negeri untuk melantik mana-mana individu untuk dijadikan sebagai Datuk Bandar Ipoh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi wawancara bersama radio dan Berita RTM di konti RTM Perak, di Ipoh, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, tidak menjadi masalah apabila jawatan Datuk Bandar berkenaan SUK negeri.

“Sebenarnya ia pernah dibuat sebelum ini yang mana seorang Menteri Besar Perak (Tan Sri Ramli Ngah Talib) memangku jawatan Datuk Bandar Ipoh,” katanya.

Beliau berkata, selain itu kekosongan jawatan bagi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping pula akan diselesaikan dalam masa terdekat.

“SUK negeri sedang mengatur perubahan, terdapat dua perubahan yang bukan kerana pertukaran tetapi berikutan persaraan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan dan Taiping.

“Jadi akan ada sedikit pergerakan (jawatan) dalam kalangan Yang Dipertua Majlis dan pegawai daerah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 7:08 PM