RINA (dua dari kanan) mendengar taklimat daripada Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu (kanan) di Dewan Orang Ramai Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR). FOTO ADNAN IBRAHIM
RINA (dua dari kanan) mendengar taklimat daripada Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu (kanan) di Dewan Orang Ramai Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR). FOTO ADNAN IBRAHIM
Adnan Ibrahim


KIRA-KIRA 3,000 penduduk Kampung Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Kluang yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) akan dipastikan dapat menjalani kehidupan harian seperti biasa.

Ini termasuk menyediakan 3,000 pek makanan asas yang disalurkan kepada mereka sejak semalam bersama bantuan lain daripada kerajaan negeri.

Menteri Wanita dan Keluarga Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pek makanan itu dikelolakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan penduduk turut dibantu kerajaan negeri yang difahamkan menyediakan dana bantuan untuk mereka.

“Kerja pengagihan makanan asas sudah pun bermula dengan keseluruhan penduduk yang terbabit malam tadi (semalam) menerimanya bersama keperluan lain seperti susu bayi, lampin pakai buang serta gas memasak.

“Bilik Gerakan Bencana Covid-19 juga dibuka 24 jam di Dewan Orang Ramai Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) yang menyediakan dua talian hotline untuk penduduk berhubung jika bekalan makanan terputus

“Nombor telefon yang boleh dihubungi penduduk adalah 07-7551300 atau 1300-88-6377,” katanya yang ditemui selepas melawat bilik gerakan itu, hari ini.

Turut mengiringinya Ketua Pengarah JKM Zulkifli Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail dan Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu.

Rina juga memberitahu, berpuas hati dengan persiapan dibuat Pejabat Daerah Kluang, JKM Johor dan MDSR yang dibantu polis, bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Ketika semua petugas bertungkus-lumus untuk membantu penduduk, kita juga berharap mereka membantu kerajaan dengan mematuhi setiap arahan dan tidak melakukan apa yang dilarang sepanjang PKPD ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 8:16 PM