SEKATAN jalan oleh polis dan tentera di hadapan Kampung Parit Salam bagi menghalang aktiviti keluar masuk orang ramai dari kawasan PKPD bermula hari ini. FOTO Adnan Ibrahim
SEKATAN jalan oleh polis dan tentera di hadapan Kampung Parit Salam bagi menghalang aktiviti keluar masuk orang ramai dari kawasan PKPD bermula hari ini. FOTO Adnan Ibrahim
Mohamed Farid Noh


MENTERI Besar, Datuk Hasni Muhammad memberi jaminan bekalan makanan penduduk terjejas di Simpang Renggam mencukupi dan akan dipantau sepanjang masa.

Hasni berkata, keperluan makanan semua penduduk di Simpang Renggam akan dibekalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan.

“Pada kesempatan ini, saya memberi jaminan makanan asas yang mencukupi akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh JKM sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.

“Kerajaan Johor juga akan sentiasa memantau perkembangan penduduk di kawasan terbabit dan memberi segala sokongan serta kerjasama yang diperlukan.

“Di kesempatan ini, saya ingin menyeru orang ramai supaya memanjatkan doa semoga keselamatan warga Simpang Renggam dan secara amnya kepada rakyat Malaysia agar sentiasa terjamin dan dilindungi Allah SWT,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam tadi dilaporkan mengumumkan, dua kawasan di Simpang Renggam menjadi lokasi pertama dikenakan PKPD mulai tengah malam ini, selepas 61 penduduknya positif Covid-19.

Dua kawasan itu membabitkan Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, kerajaan Johor yakin keputusan PKPD dibuat kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19 menjadi bertambah serius.

“Justeru, saya menyeru semua penduduk di kawasan berkenaan supaya bertenang dan mematuhi semua arahan sekali gus memberi kerjasama yang baik kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 12:20 PM