ZULKEFFLEE dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas 23 pertuduhan. FOTO BERNAMA
ZULKEFFLEE dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas 23 pertuduhan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

PENGAWAL keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini atas 23 pertuduhan termasuk melakukan amang fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun sejak bulan lalu.

Zulkefflee Ismail, 57, didakwa atas tujuh pertuduhan melakukan amang fizikal terhadap mangsa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut didakwa atas satu pertuduhan memiliki video lucah di dalam telefon bimbit di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selain itu, Zulkefflee turut berdepan dengan lapan pertuduhan bagi kesalahan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, kerana memiliki video lucah antara tertuduh dan mangsa yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga berdepan dengan enam lagi pertuduhan di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, kerana menggunakan kanak-kanak itu untuk menghasilkan video porno.

Lelaki yang memakai t-shirt berwarna kuning itu juga, berdepan dengan satu lagi pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Kesemua perbuatan itu dilakukan tertuduh di beberapa kawasan termasuk di sebuah hotel di daerah Seberang Perai Utara antara 17 Mac dan 7 April lalu.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus, Zulkefflee membuat pengakuan bersalah semasa pertuduhan dibacakan terhadapnya bagi kesalahan melanggar PKP, memiliki video lucah, lapan pertuduhan memiliki video lucah antara tertuduh dan mangsa serta enam pertuduhan di bawah Seksyen 7 iaitu menggunakan kanak-kanak itu untuk menghasilkan video porno.

Bagaimanapun, lelaki yang masih bujang itu memohon kesnya dibicarakan bagi tujuh pertuduhan melakukan amang fizikal terhadap mangsa.

Bagi kesalahan melanggar PKP, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan memerintahkan penjara sebulan dikenakan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Bagi hukuman lain, untuk kesalahan yang dilakukan tertuduh, mahkamah menetapkan 3 Jun ini untuk serahan dokumen serta fakta hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Mohammad Nazri Abdul Rahim, manakala tertuduh diwakili peguam Ima Syakira Mohd Salim.

Semalam, Bernama melaporkan seorang lelaki ditahan polis kerana meliwat anak jirannya lebih 20 kali apabila dia membawa kanak-kanak lelaki itu keluar berjalan-jalan termasuk bermalam di sebuah hotel bajet di Butterworth sejak bulan lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 6:12 PM