SESB sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan bagi memastikan bekalan elektrik di Sabah dan Labuan dalam keadaan baik. FOTO Juwan Riduan
SESB sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan bagi memastikan bekalan elektrik di Sabah dan Labuan dalam keadaan baik. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


SABAH Electricity Sdn Bhd (SESB) menghentikan semua penutupan bekalan elektrik berjadual di negeri itu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga 31 Mac ini.

Pemangku Pengarah Urusan SESB, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, penutupan bekalan elektrik hanya dilakukan bagi tujuan kecemasan sementara untuk memberi laluan kerja pembaikan kerosakan.

“Bekalan elektrik perlu disalurkan secara berterusan negeri ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan masyarakat terus berada di rumah bagi pematuhan PKP ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Nasser berkata, kira-kira 500 kakitangan kerja SESB bersiap sedia 24 jam untuk memastikan kestabilan penyaluran bekalan elektrik kepada pengguna di negeri ini.

Katanya, anggota kerja teknikal terus bekerja demi memastikan bekalan elektrik ke lokasi kritikal seperti klinik dan hospital berterusan.

“Semua anggota kerja teknikal SESB bekerja secara giliran dan dipecahkan kepada kumpulan ‘tunggu sedia’ di seluruh negeri dan Labuan sebagai satu langkah mitigasi ketika PKP terlaksana.

“SESB akan terus memantau kestabilan bekalan elektrik di rumah pengguna sepanjang tempoh PKP yang dikuatkuasakan sehingga 31 Mac,” katanya.

Jika berlaku sebarang gangguan bekalan pengguna dinasihatkan untuk segera menghubungi SESB di talian aduan kerosakan di 15454 dan 088515000 ataupun menghantar aduan mereka di nombor 019-852 5427 menggunakan aplikasi WhatsApp.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 3:43 PM