Masjid Sri Petaling.
Masjid Sri Petaling.
BERNAMA

KAWASAN di sekitar Masjid Jamek Sri Petaling dan Parlimen Titiwangsa diklasifikasi sebagai zon merah wabak koronavirus baharu (Covid-19), kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, kedua-dua kawasan itu akan dipantau lebih intensif oleh pihak berkuasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Katanya, kawasan itu diberi lebih perhatian selepas diklasifikasi sebagai zon merah berikutan pentakrifan diberi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila sesuatu kawasan itu mempunyai lebih 40 kes jangkitan Covid-19.

“Kalau ikutkan Masjid Sri Petaling di bawah (Parlimen) Seputeh tapi ada juga yang mentafsirkannya sebagai kawasan Lembah Pantai, namun saya akan jelaskan selepas mesyuarat dengan MKN (Majlis Keselamatan Negara).

“Oleh kerana kawasan sekitar Masjid Jamek Sri Petaling kawasan tumpuan jemaah tabligh yang menjadi kawasan dengan banyak jangkitan, kesiapsiagaan perlu dipertingkat dengan kerjasama pelbagai agensi,” katanya menerusi video siaran langsung di Facebook, hari ini.

Annuar berkata sehingga jam 2 petang tadi, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan 212 kes Covid-19 sementara Labuan dengan lima menjadikan jumlah kes di Wilayah Persekutuan 217.

Setakat Ahad, Lembah Pantai mencatat jumlah kes Covid-19 tertinggi di Kuala Lumpur iaitu 90 manakala Titiwangsa pula 41 kes.

Bagi memastikan warga kota mematuhi penjarakan sosial sepanjang tempoh PKP, anggota polis dan pihak tentera akan membantu pengendali pasar raya dan pasar harian untuk pemantauan selanjutnya.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga akan menggunakan teknologi dron bagi memeriksa dan memantau kawasan pasar terbuka bagi memastikan mereka terus beroperasi mengikut peraturan,” katanya sambil menambah DBKL yang melakukan pemeriksaan dan pemantauan sekitar pasar borong dan pasar harian di ibu negara, semalam telah menyita 36 gerai di Pasar Selayang atas kesalahan mengingkari PKP.

Pada sesi siaran langsung selama 28 minit itu, Annuar turut memaklumkan terdapat dua kes penahanan berhubung kluster tabligh Masjid Sri Petaling yang belum menjalani saringan kesihatan, semalam.

“Mereka terpaksa dijemput polis untuk menjalani pemeriksaan dari Projek Perumahan Awam (PPR) Jelatek dan Presint 5 Putrajaya.

“Masih ada peserta ijtimak tabligh itu yang belum menjalani pemeriksaan. Langkah yang selamat adalah tampil untuk membuat saringan, kemudian ikuti langkah tambahan dengan kuarantin sukarela untuk pastikan diri, keluarga dan jiran dalam keadaan selamat,” katanya.

Masjid Sri Petaling yang menjadi lokasi perhimpunan ijtimak tabligh dari 28 Februari hingga 1 Mac kini menjadi kluster terbesar jangkitan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 8:52 PM