Mohamed Farid Noh


KEMENTERIAN Kesihatan akan menempatkan seramai 1,000 doktor pelatih di semua hospital kerajaan seluruh negara mulai Isnin ini, bagi membantu melicinkan operasi harian susulan penularan kes Covid-19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, semua doktor pelatih itu akan menjalani latihan induksi lima hari termasuk pengendalian elemen Covid-19 sebelum memulakan tugas mereka.

“Langkah penempatan segera 1,000 doktor pelatih ini bagi meredakan bebanan doktor sedia ada yang menumpukan kes Covid-19.

“Mereka tidak akan terbabit dalam pengendalian kes Covid-19 namun lebih kepada kes kesihatan biasa termasuk demam, selesema dan lain-lain, ” katanya dalam sidang media di Hospital Permai, Johor Bahru, hari ini.

Sementara itu, Dr Adham berkata, KKM akan memohon agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi membantu memantau kemasukan pelancong dan rakyat Malaysia ke negara ini.

Menurutnya, ia bagi mengatasi kekurangan kakitangan KKM yang diperlukan melakukan penjejakan kontak mereka yang dirawat di hospital akibat jangkitan berkenaan.

Mengulas mengenai jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan ijtimak di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur, dari 27 Februari hingga 1 Mac lalu, beliau berkata, seramai 508 orang jemaah di negeri ini sudah tampil sukarela membuat pemeriksaan kesihatan berhubung Covid-19.

“Terdapat 94 pesakit dirawat di Hospital Permai dengan 21 daripadanya didapati positif Covid-19.

“Terdapat 73 yang lain merupakan Pesakit Dalam Siasatan (PUI) jangkitan Covid-19 dengan 13 daripadanya adalah jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan ijtimak,” katanya.

Beliau juga menyeru mereka yang menghadiri perhimpunan terbabit supaya tampil sukarela melakukan pemeriksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 6:01 PM
ADHAM (tengah) bersama Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu (kanan) bergambar sebelum mendengar taklimat isu Covid-19,di Hospital Permai. FOTO Mohd Azren Jamaludin
ADHAM (tengah) bersama Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu (kanan) bergambar sebelum mendengar taklimat isu Covid-19,di Hospital Permai. FOTO Mohd Azren Jamaludin