Mohd Khidir Zakaria


“KAMI bukan ingkar arahan, tetapi barang sumbangan perlu diagihkan kepada mereka yang memerlukannya.

“Ada yang merintih, menangis beritahu tiada apa lagi bahan untuk dimasak, susu anak sudah dua hari habis, sedangkan kami (sukarelawan) turut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9), Norfadilah Mansor.

Menurutnya, semalam sukarelawan PERKASIH N9 terpaksa keluar mengambil makanan, roti, beras untuk diagihkan kepada beberapa keluarga yang memerlukan bantuan.

“Memang serba salah, nak masukkan wang melalui akaun bank, mereka hadapi masalah untuk keluar. Jalan mudah walau bahaya, sukarelawan kami terpaksa keluar dan menguruskan penghantaran barangan kepada beberapa keluarga di Sendayan, Labu dan Port Dickson.

“Kami menerima permintaan sumbangan termasuk dari luar Negeri Sembilan seperti Selangor, Terengganu malah ada dari Johor, tetapi untuk makluman, kami hanya mampu menguruskan permintaan di Negeri Sembilan sahaja,” katanya.

Norfadilah berkata, pergerakan sukarelawan terpaksa dihadkan kerana tidak pergi jauh dan hanya menghantar barangan di kawasan sekitar tidak lebih 10 kilometer sahaja.

“Arahan PKP perlu dipatuhi kerana kami tidak mahu ada sukarelawan dijangkiti virus Covid-19 yang sedang berleluasa ini.

“Semalam, kami terpaksa keluar kerana ada barangan sumbangan roti yang tidak boleh disimpan lama dan perlu diagihkan,” katanya.

Norfadilah berkata, pihaknya menerima banyak keluhan daripada beberapa keluarga susah yang tiada barangan untuk dimasak kerana ketua keluarga tidak boleh keluar bekerja.

Katanya, mereka turut tertakluk kepada PKP, sekali gus sukar bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain dan hanya mampu menyumbang di kawasan berdekatan sahaja.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 4:57 PM