ZALEHA bersama suaminya, Yunus ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Politeknik, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
ZALEHA bersama suaminya, Yunus ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Politeknik, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


SEORANG suri rumah pasrah apabila hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda susulan sakit lutut kronik dialami sekaligus menyukarkannya menguruskan anak bongsu yang mengidap asma teruk.

Ibu kepada enam anak itu, Zaleha Mohamed, 54, berkata suaminya, Mohd Yunus Veeran Kutty, 40, bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Teluk Kemang.

"Masalah lutut ini saya alami sejak empat tahun lalu tetapi semakin teruk. Malah saya tidak boleh berjalan sejak tiga bulan lalu.

"Saya sedih kerana tidak lagi mampu bekerja membantu menambah pendapatan suami kerana saya memerlukan perbelanjaan perubatan yang tinggi," katanya ketika menerima sumbangan barangan keperluan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih (PERKASIH) Negeri Sembilan, di rumahnya, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, katanya, dia pernah bekerja di beberapa hotel di Bahau dan Port Dickson sebagai tukang cuci dan pekerja am.

Namun kini dia tidak lagi mampu berjalan dan hanya terlantar di rumah sewanya di Taman Politeknik, Port Dickson.

"Setakat ini saya tidak dapat mana-mana sumbangan dan berharap menerima bantuan bulanan daripada Perkeso kerana saya adalah pencarum semasa bekerja dahulu.

"Anak bongsu, Muhamad Zuhairi Mohammad Aziz, 17, menghidap penyakit asma kronik dan memerlukan rawatan susulan dua kali sebulan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PERKASIH negeri, Norfadilah Mansor, berkata pihaknya sudah menghubungi Perkeso Negeri Sembilan bagi mendapatkan pandangan berhubung pencen ilat jika Zaleha layak menerimanya.

"Selepas dihubungi, pihak Perkeso memberitahu akan datang menyiasat samada Zaleha layak menerima bantuan bulanan pencen ilat.

"Maklumat awal, pihak Perkeso mengatakan Zaleha layak menerima bantuan bulanan atau pencen ilat kerana sudah lama bekerja dan mencarum, harap ia dapat disegerakan," katanya.

Norfadilah berkata, selain memerlukan bantuan untuk perubatan, Zaleha juga perlu membantu suaminya membayar sewa rumah RM500 sebulan selain rawatan susulan untuk anak bongsunya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 2:05 PM