Orang ramai memilih barang keperluan di Pasar Percuma PERKASIH N9, hari ini. FOTO Mohd Khidir Zakaria.
Orang ramai memilih barang keperluan di Pasar Percuma PERKASIH N9, hari ini. FOTO Mohd Khidir Zakaria.
Mohd Khidir Zakaria

LEBIH 10 guni pakaian terpakai dan baharu selain makanan diagihkan secara percuma di Balai Raya Taman Gadong Jaya, Seremban, hari ini, dengan semua barangan itu habis dalam tempoh dua jam.

Agihan sempena program Pasar Percuma anjuran Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9) yang bermula pada 9 pagi.

Presiden PERKASIH N9, Norfadilah Mansor berkata, program itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan pelbagai jenis pakaian dan keperluan makanan tanpa bayaran.

“Ada baju kurung, baju T, seluar dan pakaian kanak-kanak disediakan. Malah kita juga sertakan pinggan, gula, beras, roti dan buah-buahan yang disumbangkan sebuah pasar raya di daerah ini.

“Pasar percuma ini diadakan untuk memudahkan urusan pengagihan kepada golongan yang memerlukan dengan niat mahu meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui.

Norfadilah berkata, kira-kira 100 orang hadir pada acara itu dan membabitkan 14 sukarelawan.

Pihaknya turut merancang mengadakan program sama setiap bulan dan berharap mendapat kerjasama pelbagai pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 4:51 PM