WAN Rosdy Wan Ismail menyampaikan penghargaan dan penyampaian insentif kepada pemenang pingat pasasukma Pahang di Kuantan. FOTO ASROL AWANG
WAN Rosdy Wan Ismail menyampaikan penghargaan dan penyampaian insentif kepada pemenang pingat pasasukma Pahang di Kuantan. FOTO ASROL AWANG
Asrol Awang


KERAJAAN negeri Pahang akan memberi bantuan kewangan kepada 13,200 individu yang pendapatan mereka terjejas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ketika ini, pihaknya sudah mengenal pasti penerima yang layak dan akan mempercepatkan bantuan berkenaan.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang menyelaras segala bentuk bantuan bersama Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.

“Saya sudah mengarahkan bahawa mereka yang benar-benar terjejas sumber pendapatan akan menerima bantuan ini,” katanya selepas meninjau sekatan jalan raya di Jalan Teluk Sisek, Kuantan, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan.

Pada 19 Mac lalu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas sebanyak RM2 juta sebagai bantuan khas kepada golongan yang terjejas sumber pendapatan akibat PKP berikutan penularan wabak Covid-19.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Rosdy berkata, seramai 8,000 anggota polis dan anggota tentera digerakkan di beberapa lokasi di seluruh Pahang untuk melancarkan sekatan jalan raya dan meningkatkan rondaan bagi memastikan orang ramai berada di rumah.

Katanya, di Pahang, sebanyak 37 sekatan jalan raya dilakukan dan beliau dimaklumkan bahawa semuanya berjalan dengan lancar.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 8:07 PM