JEMAAH tabligh diiring pihak berkuasa sebaik tiba di Terminal Feri Tawau sebelum diserahkan kepada MKN. FOTO Ihsan pembaca.
JEMAAH tabligh diiring pihak berkuasa sebaik tiba di Terminal Feri Tawau sebelum diserahkan kepada MKN. FOTO Ihsan pembaca.
Abdul Rahemang Taiming


SEKUMPULAN 12 jemaah tabligh yang gagal menghadiri Program Ijtimak Dunia Zon Asia 2020 di Sulawesi, Indonesia, pulang ke Tawau, semalam.

Mereka yang menaiki sebuah bot itu diiringi Pasukan Polis Marin Malaysia (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tugas Bersama (ATB) II, pada 3.20 petang.

Menurut sumber, kumpulan jemaah tabligh terdiri daripada warga tempatan itu sepatutnya menyertai himpunan ijtimak di Sulawesi, Indonesia yang dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 22 Mac.

Bagaimanapun, kerajaan Indonesia membatalkan acara itu selepas mengambil kira peningkatan jumlah kes Covid-19 di Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia.

“Jemaah terbabit dikatakan tiba di Sungai Pancang di Pulau Sebatik (Wilayah Indonesia) pagi Sabtu selepas pulang dari Sulawesi dan mahu pulang semula ke Tawau menerusi jalan laut sebelum bergerak ke kampung masing-masing,” katanya.

Pihak berkuasa bagaimanapun menerima maklumat berhubung pergerakan kumpulan tabligh itu menerusi perairan Tawau pada 9.50 pagi semalam.

Susulan itu, pasukan keselamatan digerakkan ke kawasan Laut Sungai Pancang untuk tugasan mengiring dan mengawal perjalanan bot jemaah berkenaan.

Pihak berkuasa kemudian mengiringi kumpulan terbabit memasuki Pusat Kuarantin Kastam dan Imigresen (CIQ) di Terminal Feri Tawau (TFT) sebelum diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan lanjut.

Difahamkan kumpulan berkenaan kini ditempatkan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau bagi tujuan kuarantin dan pemantauan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 7:02 PM