Masjid Seri Petaling. FOTO NSTP
Masjid Seri Petaling. FOTO NSTP
Suraya Roslan


HANYA 12,500 peserta, bukan 16,000. Demikian dakwaan Pimpinan Jemaah Dakwah dan Tabligh Malaysia mengenai jumlah kehadiran peserta himpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, awal bulan ini.

Ahli Mesyuarat Markaz Dakwah dan Tabligh Malaysia, Abdullah Cheong berkata, 16,000 jemaah seperti yang didakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah tidak tepat.

“Jumlah ini berdasarkan data dikumpul bahagian Syukbah Pendataan Ijtimak Tabligh bagi tujuan menguruskan makanan dan tempat tinggal peserta himpunan berkenaan.

“Data dikira berdasarkan keluasan tempat himpunan dan ruang dalam masjid, contohnya bahagian sayap kanan masjid boleh memuatkan 1,700 orang, manakala bahagian tetamu luar negara seramai 840 orang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kehadiran peserta himpunan itu dikira ketika solat didirikan berdasarkan kiraan kepala dalam setiap saf dan bukanlah anggaran semata-mata.

“Pada Sabtu malam, 29 Februari lalu, data rasmi Masjid Seri Petaling menunjukkan jumlah peserta yang solat Maghrib di masjid kami, termasuk tetamu luar negara dan mereka bertugas menjaga trafik, memasak, menjaga parkir dan sebagainya ialah sekitar 12,500 orang.

“Inilah kehadiran tertinggi ketika ijtimak (himpunan) kami berlangsung. Kiraan ini bukanlah jumlah yang baharu kami dapatkan, malah adalah rutin Syukbah Pendataan untuk bertahun-tahun lamanya.

“Jumlah kehadiran yang banyak disebut ialah seramai sekitar 16,000 orang. Jumlah ini bukanlah datang daripada pihak kami,” katanya.

KKM sebelum ini memaklumkan, siasatan pihaknya mendapati kira-kira 16,000 peserta menyertai himpunan tabligh di Masjid Seri Petaling yang berlangsung antara 28 Februari hingga 2 Mac lalu, membabitkan 14,500 rakyat Malaysia.

Abdullah mendakwa, sekitar 1,600 peserta yang hadir adalah jemaah tabligh dari luar negara dengan hampir 100 peratus daripada mereka sudah kembali ke negara masing-masing, sekali gus hanya kira-kira 11,000 warga tempatan.

“Ini bermakna jumlah kehadiran orang tempatan ialah sekitar 11,000 peserta termasuk warga asing menetap di Malaysia iaitu Rohingya, Myanmar dan Bangladesh.

“Sejak bermula pengesahan kes pertama yang dikaitkan dengan ijtimak kami di Brunei, kami memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan menggesa semua peserta ijtimak menghubungi pejabat kesihatan daerah masing-masing, atau CPRC hotline secepatnya,” katanya.

Menurutnya, usaha itu dilakukan di peringkat negeri seluruh Malaysia yang dibahagikan kepada 28 markas.

“28 markas ini pula dibahagikan kepada halaqah kecil berjumlah sekitar 1,100 (halaqah) keseluruhannya. Setiap halaqah lazimnya mempunyai 15 hingga 20 masjid dan surau di bawah naungan masing-masing,” katanya.

Katanya, berdasarkan laporan KKM, setakat 19 Mac lalu, sekitar 10,500 peserta ijtimak sudah pun disaring.

“Ini bermakna hanya sekitar 500 orang lagi peserta tempatan yang belum disaring.

“Banyak laporan yang kami terima mengatakan ramai antara peserta ijtimak pergi ke pejabat kesihatan daerah ataupun hospital berhampiran, terutamanya hari pertama, tetapi apabila didapati mereka tidak menunjukkan sebarang gejala, mereka diminta pulang ke rumah masing-masing dan diarah kuarantin selama 14 hari. Namun, kami khuatir butiran mereka tidak direkod sebelum mereka dihantar pulang,” katanya.

Katanya, rekod pihaknya menunjukkan bilangan warga Rohingya yang hadir ialah sekitar 200 orang dan Myanmar pula berjumlah 150 orang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 11:11 AM