ANGGOTA Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan di jalan tikus laluan pendatang asing tanpa izin di Serikin,Bau. FOTO Norsyazwani Nasri
ANGGOTA Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan di jalan tikus laluan pendatang asing tanpa izin di Serikin,Bau. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri
am@hmetro.com.my

KEADAAN sempadan di seluruh Sarawak terkawal dan tidak dibolosi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jalan tikus yang sering dijadikan laluan masuk pendatang asing tanpa izin (Pati) turut dipantau melalui sekatan 24 jam yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA, Superintendan Rosdi Inai berkata, pihaknya akan memastikan pintu masuk sempadan di negeri ini tidak dibolosi bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Pihak berkuasa Indonesia mematuhi larangan kemasukan warganya ke negeri melalui perbincangan kedua-dua pihak.

“Bagaimanapun, kita sentiasa bersiap-sedia dengan sebarang kemungkinan berlaku melalui kawalan di sempadan dua negara ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Pasar Serikin, Bau, hari ini.

Katanya, pihaknya mengenal pasti jalan tikus di kawasan Serikin dengan rondaan lebih kerap dilaksanakan bagi mengekang kemasukan warga asing dari Indonesia.

“Kita tidak dapat nafikan, jenayah rentas sempadan masih berlaku tetapi dengan keanggotaan yang kita ada, saya yakin isu ini dapat dikurangkan.

“Seramai tiga hingga lima orang anggota PGA ditempatkan di setiap jalan tikus ini dan selain di Serikin, kita juga menjalankan pengawasan sempadan di Tebedu, Telok Melano dan Bunan Gega,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat di Bau mematuhi PKP yang berkuat kuasa sehingga 31 Mac ini.

“Mereka berada di dalam rumah dan tidak berlaku transaksi jual beli antara Sarawak dan Indonesia di Pasar Serikin.

“Pasar Serikin yang dikunjungi lebih 1,000 orang pada hujung minggu kini sunyi dan tiada sebarang aktiviti perniagaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 6:34 PM