ANGGOTA polis memberi penerangan kepada beberapa orang pelancong di Tebingan Sungai Kuching susulan Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO BERNAMA
ANGGOTA polis memberi penerangan kepada beberapa orang pelancong di Tebingan Sungai Kuching susulan Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO BERNAMA
Mohd Roji Kawi


PASUKAN keselamatan mengetatkan kawalan di sempadan negeri ini dan Indonesia susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa mulai semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, anggota tentera dan polis melaksanakan kawalan di setiap laluan masuk di sempadan untuk memastikan rakyat negara jiran itu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan sejak semalam hingga hujung bulan ini.

Beliau berkata, anggota unit kereta peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau juga akan melakukan rondaan di pasar berkenaan, mulai esok berikutan warga negara jiran itu biasanya memasuki Serikin pada petang Jumaat.

“Pasar Serikin kini ditutup sejajar dengan keputusan kerajaan Sarawak untuk menyekat kemasukan semua rakyat negara asing ke negeri ini.

“Langkah itu diambil bagi menghindari interaksi antara rakyat negeri ini dengan negara jiran kerana kedua-dua wilayah ini sedang menghadapi masalah penularan wabak Covid-19,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Berikutan itu katanya, pasukan keselamatan sedia ada kini meningkatkan kawalan di kawasan tanggungjawab masing-masing, sepanjang sempadan Malaysia-Indonesia.

Kawasan Serikin antara yang dikawal oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) selain kawasan Biawak, Lubok Antu, Tebedu dan Ba’Kelalan, manakala Pasukan Gerakan Am (PGA) mengawal sempadan di Mongkos, Bunan Gega, Tebedu dan Telok Melano.

Mengulas lanjut, Aidi berkata, notis juga sudah diedarkan kepada peniaga di pasar Serikin berhubung penutupan lokasi tumpuan ramai itu mulai sekarang hingga jangka masa yang akan diberitahu kelak.

“Kereta peronda polis yang melakukan rondaan di kawasan itu juga akan menggunakan pembesar suara untuk menghebahkan penutupan pasar berkenaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 5:11 PM