Pemain industri memberi jaminan masih lagi mempunyai lebihan ayam dan telur untuk beroperasi secara normal
Pemain industri memberi jaminan masih lagi mempunyai lebihan ayam dan telur untuk beroperasi secara normal
Noor Atiqah Sulaiman

TIDAK perlu bimbang berikutan bekalan ayam dan telur di seluruh negara mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hingga 31 Mac hadapan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, jaminan itu diberikan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia dalam perjumpaan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Putrajaya tadi.

Perbincangan itu membabitkan beliau bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi dan 12 pemain industri peruncitan dan makanan negara.

“Untuk ayam dan telur (bekalan) pemain industri memberi jaminan kita masih lagi mempunyai lebihan dan beroperasi secara normal,” katanya.

Kiandee berkata, dalam perbincangan yang berlangsung pemain industri membangkitkan beberapa perkara yang memerlukan pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Antaranya ialah dari segi rantaian bekalan pengeluaran telur dan ayam dan supaya kedua-dua bahan makanan itu disenaraikan sebagai barangan keperluan,” katanya.

Kiandee berkata perkara lain yang dibangkitkan dalam perbincangan itu ialah peningkatan had kuota beras untuk setiap pasar raya kerana pada masa ini orang ramai banyak bergantung kepada premis berkenaan untuk membeli beras.

Sementara itu Nanta berkata KPDNHEP tidak lagi menerima aduan pembelian panik.

“Setakat ini tidak ada masalah dari segi bekalan makanan tapi semua pihak perlu sedia untuk hadapi sebarang kemungkinan selepas ini jika penularan Covid-19 berpanjangan,” katanya.

Nanta berkata, pengendali pasar raya turut diminta tidak menaikkan harga barangan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Pengguna boleh melaporkan sebarang kenaikan harga dan isu bekalan kepada KPDNHEP melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 7:05 PM