RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. FOTO Ihsan Istana Arau
RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. FOTO Ihsan Istana Arau
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perlis (MAIPs) tetap berkhidmat membantu golongan asnaf sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Baginda bertitah, MAIPs akan menyalurkan sebanyak RM154,500 kepada asnaf yang terjejas sepanjang tempoh kawalan khususnya penjaja kecil, buruh harian dan seumpamanya.

“Bantuan ini sebagai langkah bantuan kecemasan untuk pembelian makanan dan keperluan yang begitu mendesak kelangsungan hidup mereka. Asnaf hanya perlu bertemu amil atau jawatankuasa kariah masjid berdekatan di seluruh Perlis bagi tujuan pembelian makanan atau kecemasan.

“Sebanyak RM463,500 pula akan disalurkan kepada masjid seluruh negeri Perlis melalui Program Agihan Ziarah Dakwah Bil Hal. Sepanjang tempoh ini, MAIPs akan membuka kaunter urusan sementara di pos pengawal bangunannya untuk mengagih dan menerima borang permohonan zakat daripada warga asnaf,” titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Arau hari ini.

Baginda bertitah, bagi kakitangan MAIPs yang bertugas mestilah mengamalkan sistem penugasan giliran dalam usaha meminimumkan tenaga dan pekerjaan kakitangan sepanjang tempoh kawalan.

“Usaha ini adalah manifestasi komitmen MAIPs dalam melaksanakan amanah agihan zakat, bahkan perlaksanaan pergiliran tugas ini khas bagi program turun padang dalam kes kecemasan atau bencana.

“Selain itu kaunter bantuan terhad juga akan dibuka di Masjid Alwi, Kangar bermula 18 Mac hingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tamat,” titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 1:18 PM