PEMBERITAHUAN mengenai Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. FOTO Reuters
PEMBERITAHUAN mengenai Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. FOTO Reuters
Redzuan Muharam


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sembilan lagi kes Covid-19 dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 158.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 127 kes dikesan dari kontak rapat, 26 kes dikesan dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI), dua kes membabitkan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI), dua kes dari Misi Bantuan Kemanusiaan dan satu lagi adalah Influenza-Like-lllness (ILI) melalui survelan Covid-19.

“Hari ini terdapat enam kes pulih dan kesemuanya (kes) negatif Covid-19 sebanyak dua kali berturut-turut sebelum dibenarkan pulang.

“Dengan jumlah baru discaj ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya setakat ini dan discaj daripada wad adalah sebanyak 32 kes.

“Kini, terdapat tiga kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang memerlukan bantuan alat pernafasan dan mereka dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham mengingatkan jemaah tabligh yang terbabit dalam perhimpunan di Masjid Seri Petaling untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran untuk penilaian risiko jangkitan Covid-19 dan tindakan selanjutnya,

"Orang awam yang terbabit dengan perhimpunan itu diminta memberi kerjasama dan mematuhi nasihat diberikan KKM demi memastikan tiada penularan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat umum.

KKM juga sudah memaklumkan mengenai kejadian itu kepada International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) negara-negara yang mempunyai peserta dalam majlis berkenaan.

Orang awam diminta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan jangkitan Covid-19 yang membabitkan perhimpunan tabligh ini demi menjaga keharmonian umum," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM mengambil maklum kenyataan Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa (WHO) bertarikh 11 Mac mengenai situasi terkini Covid-19 di peringkat global yang kini membabitkan 114 negara.

“Kita juga maklum dengan pengumuman WHO yang mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik dengan mengambil kira terdapat peningkatan kes yang ketara di negara-negara selain China.

"Jumlah kes di negara-negara selain China dijangka terus meningkat. WHO juga memaklumkan bahawa langkah pencegahan dan kawalan yang sedang dijalankan kini masih relevan dan dicadangkan untuk dipertingkatkan.

"Dengan pengumuman WHO ini, KKM akan terus memastikan langkah kawalan dan pencegahan jangkitan Covid-19 yang dijalankan dikaji mengikut situasi semasa di negara kita dan akan dipertingkatkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 9:45 PM