Junita Mat Rasid


SEMBILAN pekerja kilang warga tempatan yang sedang `berpesta’ dengan air ketum di rumah, antara 105 individu ditahan dalam Ops Khas Bersepadu Wilayah Iskandar Puteri, Johor Bahru, awal pagi hari ini.

Dalam operasi bermula kira-kira 6 petang semalam sehingga 2 pagi tadi, seramai 222 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dengan kerjasama Jabatan Imigresen menjalankan pemeriksaan di pusat hiburan, rumah dan kedai makan sekitar Bukit Indah, Nusa Bestari, Gelang Patah serta Kangkar Pulai.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, sembilan lelaki warga tempatan itu ditahan di rumah di Gelang Patah selepas didapati sedang minum air ketum.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui kira-kira tiga liter air ketum dalam rumah berkenaan. Hasil soal siasat mendapati air ketum terbabit adalah untuk kegunaan mereka sendiri selain kita percaya air ketum terbabit dibawa dari utara tanah air,” katanya pada sidang media, di Johor Bahru, hari ini.

Dzulkhairi berkata, sepanjang operasi bersepadu itu, pihaknya memeriksa individu yang terdiri daripada 97 lelaki dan lapan wanita berusia antara 19 hingga 50 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, mengedar dan memiliki dadah, selain sembilan lelaki yang didapati minum air daun ketum ditahan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

“Hasil operasi di kawasan Tanjung Kupang, dekat sini, polis merampas empat motosikal yang dilaporkan hilang di kawasan Johor Bharu Utara, Kulai dan Sungai Petani, Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 1:57 PM