ANTARA mat rempit yang ditahan dalam operasi di sekitar Ipoh, semalam.
ANTARA mat rempit yang ditahan dalam operasi di sekitar Ipoh, semalam.
Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Lima diberkas manakala 35 motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan sempena Ambang Tahun Baharu di Jalan Kledang Utara, awal pagi, semalam.

Operasi bermula jam 1 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi membanteras kegiatan lumba haram.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, ketika operasi dilakukan, pihaknya mengesan sekumpulan penunggang motosikal yang menunggang dalam keadaan laju dan secara berbahaya.

“Kumpulan mat rempit itu juga membuat pusingan U secara berulang kali di laluan berkenaan dan tindakan itu membahayakan diri mereka serta pengguna jalan raya lain.

“Op tutup kemudian dijalankan dan hasilnya menahan 153 penunggang motosikal sebelum mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Chamberlin IPD Ipoh untuk tujuan dokumentasi,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dalam operasi itu, tiga penunggang termasuk dua remaja lelaki ditahan kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya manakala dua lagi lelaki ditahan kerana mabuk dan dipercayai di bawah pengaruh dadah.

“Mat rempit yang ditahan adalah lelaki berusia 29 tahun serta remaja berusia 14 dan 18 tahun yang mana ketiga-tiga penunggang ini disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Lelaki berusia 44 tahun yang ditahan dipercayai di bawah pengaruh alkohol disiasat mengikut Seksyen 45 (1) APJ 1987 manakala lelaki berusia 20 tahun positif dadah dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mohd Ali berkata, dalam operasi itu pihaknya memeriksa 231 kenderaan membabitkan 221 motosikal dan 11 kereta.

“Sebanyak 211 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 35 motosikal disita selain 245 orang diperiksa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 11:01 AM